Kisah Aliah

1st Winner of Sisters in Islam Story Writing Competition
Message03.09.2018Nur Shuhada Ahmad
Woman with hijab reading quran
Freepik

In partnership with FNF Malaysia, Sisters in Islam held a story writing competition to promote women's right. From this competition, two winners have been selected and given the prize, an all expenses paid study trip to the Georgetown Festival. The first winner is Nur Shuhada Ahmad with her empowering short story, "Kisah Aliah" (English: Aliah's Story). Written from the point of view of the protagonist's school friend, this story tells about the life of Aliah as a modern-day Malaysian woman who still has to live with rigid gender roles as a homemaker while facing society's demands to be pretty and obedient. Moreover, this story also encourages readers to empower and open doors to other Aliahs in their lives, who otherwise will be treated like a door mat. This story is written in Bahasa Malaysia.

 

                                                                                   *******************************************************************************

 

Pembaca tahu, menjadi seorang perempuan itu adalah payah dan boleh melelahkan untuk sesetengah perempuan. Tidak kira dari sudut pandang keluarga, masyarakat, kawan lelaki malah kawan sesama perempuan juga.

Cerita yang penulis tulis ini adalah berdasarkan apa yang kawan penulis lalui. Kawan satu sekolah. Satu kelas dan kawan satu taman perumahan selama 9 tahun.

Aliah. Namanya Aliah. Menjadi anak bongsu daripada 7 orang adik beradik adalah sesuatu yang sukar. Apa lagi Aliah hanya seorang perempuan. Diajar dari kecil si abang adalah raja dan dia adalah hamba sahaya tanpa bantahan dari ibu ayah. Dididik juga bahawa anak perempuan itu perlu berkata “ya” sepanjang hidup dan harus dihumban masuk api neraka paling dalam jika berkata “tidak” dengan setiap arahan. Konon dosanya sama seperti dosa manusia yang menolak hukum Tuhan jika tidak mendengar dan ikut telunjuk abang-abangnya.

Aliah hidupnya hanya dirumah. Tidak boleh keluar kecuali ke sekolah. Kalau sekolah itu hanya sebelah rumah, mungkin Aliah jugak tidak boleh masuk ke kelas. Cukup mendengar suara guru  dari laman  rumah. Ini hanyalah bidalan penulis. Jangan percaya. Kalau.

Sisters in Islam Writing Competition

Kalau boleh hidupnya cuma celik mata dan membanting tulang empat kerat didalam rumah sahaja menjadi bibik kepada 4 orang lagi abangnya yang masih belum berkahwin. Kalaulah Aliah ada ilmu pertukangan, mungkin Aliah juga disuruh bertukang itu ini. Lagi sekali kalau. Disini penulis ceritakan serba ringkas jadual harian seorang Aliah pada hari minggu;-

Bangun subuh, masak nasi goreng. Taknak roti-roti bagai serupa orang kaya di dalam drama melayu. Nasi ya. Sudah siap masak, kutip baju kotor dari bilik ke bilik. Basuh baju. Dalam masa basuh baju, bersihkan kandang kucing kepunyaan abang nombor 3 dan 4 yang totalnya adalah 5 ekor. Buang tahi. Abang-abang sudah siap makan, masuk dapur balik masuh pinggan. Emak? Emaknya masuk ke dalam bilik mengemas bilik katanya sehingga jam 1 tengahari. Tidak diketahui besar mana bilik si emak sampai berjam-jam mengemas. Bilik emak penulis saiz ‘standard’ sahaja. Tak sampai satu jam pun jika emak penulis mengemas.

Sudah siap mengemas di dapur, kembali semula ke ampai untuk sambung menyidai kain baju. Sudah siap, pergi menyapu satu rumah. Sudah siap menyapu dalam rumah, menyapu luar rumah. Siap menyapu, masuk dapur semula keluarkan ikan ayam dari peti ais untuk masak tengahari. Lepas tengah hari, barulah Aliah bernafas sikit. Sikit. Kenapa sikit? Kadang-kadang si abang meminta buat itu ini. Tukar cadar atau kemas almari contohnya. Lepas masak untuk makan malam, Aliah barulah ada masa untuk buat kerja sekolah. Ya, pembaca, Aliah tidak menonton television bersama keluarga. Aliah lagi gemar membaca surat kahbar di perpustakaan jika ada kelapangan berbanding menonton berita di television.

Pergilah masuk sekolah asrama, penulis kata padanya. Aliah gelak. Tak mungkin. Dia balas kembali.

Kami jalan beriringan balik dari sekolah. Sambil penulis mengeluh tentang nasib Aliah. Penulis yakin Aliah bukan Cinderella walaupun takdir serupa.

Kami berjiran 5 buah rumah. Oh ya, Aliah juga tidak diberikan telefon bimbit. Disini penulis tidak menulis tentang telefon pintar yang harga beribu ya. Cukup telefon yang membolehkan Aliah berhubung melalui mesej dengan kawan-kawan jika ingin bertanya tentang kerja rumah atau kami berhubung kepada Aliah jika ada sesuatu berita penting melibatkan kami sekelas.

Memandangkan penulis adalah kawan yang paling dekat, penulis kerap datang sendiri ke rumah Aliah untuk memaklumkan berita kelas kami. Disini penulis jelaskan pada pembaca yang penulis benci melihat si abang memaki hamun si adik jika ingin berjumpa dengan penulis. Penulis benci melihat si abang menjeling meluat memandang penulis di luar pagar rumahnya. Penulis tak tahu sebab musabab si abang benci dengan penulis tapi penulis pernah menggores kereta waja milik si abang menggunakan kunci bermula dari tayar depan sehingga ke belakang pada ketika penulis ke pasar malam. Aliah cerita yang abangnya mengamuk sakan dan menjerit melolong meminta duit kepada emaknya untuk ke bengkel memadam kesan calar yang penulis buat. Sampai sekarang Aliah tak tahu itu kerja penulis. Dan sampai sekarang, penulis tak rasa berdosa. Tapi pembaca jangan tiru. Dosa.

Habis fasal kehidupan Aliah di rumah. Penulis ceritakan fasal Aliah di sekolah pula. Aliah cantik orangnya. Lemah lembut.

Kau lemah lembutlah orang pijak kepala kau, penulis cakap pada Aliah. Dia senyum. Macam biasa.

Penulis baru habis mengamuk bila ada seorang pelajar perempuan “mencucuk” seorang cikgu untuk menggugurkan nama Aliah dalam mewakili daerah dalam permainan catur. Aliah tak berbakat, katanya. Aliah menang peringkat sekolah sebab nasib sahaja, tambahnya lagi. Aliah anggukan sahaja. Tak ada rezeki, katanya pada penulis.

Aliah juga pernah dipersalahkan atas kehilangan duit kelas. Duit kelas itu kami kumpul bersama untuk jamuan akhir tahun. Kami nak buat di restoran mewah jadi kami kumpul awal. Disebabkan Aliah berada di dalam kelas untuk mengambil buku dan ingin dipulangkan semula ke perpustakaan, satu kelas setuju Aliah bersalah. Penulis mengamuk lagi. Aliah hanya diam menunduk tidak berkata apa. Nasib baik guru kelas kami tidak mempercayai cerita bodoh yang disampaikan oleh ketua kelas. Duit itu diganti oleh guru kelas kami sendiri.

Cerita lain, Aliah juga pernah diserang oleh sekumpulan senior perempuan di belakang sekolah atas sebab Aliah bermain mata dengan ‘pakwe’ salah seorang dari mereka pada waktu kokurikulum. Penulis mengamuk bila Aliah masuk latihan perbarisan rumah sukan dengan muka merah padam menahan air mata. Para pembaca, penulis memang seorang yang agak baran ya. Baran sampai penulis lempang Aliah sebab jadi perempuan lemah. Penulis lempang sebab dia sendiri tak mampu untuk pertahankan diri sendiri. Dari rumah jadi balaci, sampai sekolah biarkan diri dibuli. Sampai kawan baik sendiri pun naik hantu melihat perangai lembut tak bertempat Aliah. Nasib baik ‘pakwe’ yang digaduhkan hensem. Tak sedih sangat mungkin.

Balik dari sekolah, penulis paksa Aliah untuk tunjuk mana satu setan yang berani buli orang sesuka hati tanpa usul periksa. Penulis ugut untuk tampar kali kedua tengah- tengah tangga kalau Aliah sendiri diamkan kes tengah hari tadi. Dalam takut-takut, Aliah tunjuk juga. Penulis paksa Aliah balik dulu. Pendek cerita, penulis digantung sekolah 2 minggu atas alasan bergaduh dengan 6 orang lagi. Huh, puas hati. Berbalut jugalah 6 ekor setan tu. Sampai mereka tamat sekolah tak berani angkat muka bila kami selisih. Nasib baik juga mak penulis tak marah teruk bila penulis cerita hal sebenar.

Disebabkan aliah adalah seorang yang polos dan leluhur, Aliah selalu dijadikan contoh dalam memilih calon isteri oleh kawan lelaki sekelas kami. Antara yang penulis ingat adalah;-

Jangan cari yang macam Aliah, ‘plain’. Takde cutting. Mereka gelak. Jangan cari yang macam Aliah. Nak mekap pun tak reti. Mereka gelak.

Jangan cari yang macam Aliah. Nak ajak berbual dalam bahasa inggeris pun lambat. Mereka gelak lagi.

Jangan cari yang macam Aliah. Nanti kau rasa nak tambah lagi satu isteri. Sebab rumah tangga tak ‘mencabar’.

Penulis apa pembaca? Ya, penulis mengamuk lagi. Macam biasa.

Tapi kali ni penulis tak mengamuk teruk. Mengamuk sikit sahaja. Sebab penulis faham, Aliah juga tak hendak dan tak ingin berlakikan mereka yang tak tahu membaca dengan betul surah yaasin padahal setiap hari jumaat dibaca sepanjang tahun dari tingkatan satu sehingga enam

Habis cerita Aliah dari sudut pandang kawan-kawan lelaki. Penulis sambung cerita serba sedikit Aliah dimata masyarakat pula.

Aliah orangnya biasa. Gemar berbaju labuh, seluar track dan bertudung bawal kosong tidak berfesyen. Tidak ada secalit make up. Tidak ada apa yang menarik. Disini masalahnya timbul.

Aliah, belajar make up. Senang nanti lepas sekolah nak cari kerja ke, nak ‘interview’ ke. Jangan pucat je. Kata mereka.

Aliah, belajar berdandan. Macam mana boleh jadi perempuan ni? Dandan basic pun tak pandai. Kata mereka.

Aliah, nak pergi tesco jangan pakai selipar je. Cuba pakai kasut jalan molek sikit. Kata mereka.

Aliah itu, Aliah ini.

Tapi, seorang pun tak tahu Aliah tak pernah beli baju raya, kasut raya, tudung raya atau ‘make up’ untuk belajar berdandan. Selama Aliah hidup, baju kurung sepupu sepapat yang Aliah pakai di pagi raya. Baju lama kepunyaan kakak ipar yang sudah 2-3 tahun lepas. Kalau ada yang tercarik benang, dijahit semula supaya tak tertetas benagnya untuk dipakai Aliah. Tudung lama kepunyaan emaknya yang dah dibeli 4 5 bulan lepas. Emaknya beli tudung baru lain. Setiap kali raya, Aliah hanya menunggu pemberian saudara mara. Abang-abanganya? Si abang semua sudah bekerja. Mereka beli sendiri baju untuk dipakai. Dipadankan dengan “makwe” mereka. Pakaian Aliah bukan tanggungjawab mereka.

 

Tapi ya, Aliah bertanggungjawab dalam menyediakan makan-minum-pakai mereka adik beradik sepanjang hidup. Itu pegangan yang penulis lihat dari gaya abang-abang Aliah.

Dengan apa adanya yang diterima Aliah, orang keliling mula mengulang semula bagaimana Aliah seorang perempuan, tapi tidak tahu ‘basic make up’. Tidak tahu bergaya. Tidak tahu bagaimana berdandan. Tidak tahu menjadi wanita  matang. Sehingga satu tahap tidak layak untuk berfoto bersama mereka yang berdandan. Aliah cuma layak di dapur. Sehingga penulis pernah ke rumah Aliah dan melihat ‘makwe’ si abang perintah Aliah mengambil air ketika mereka menonton television. Serupa mak tiri. Penulis setuju jika pembaca cakap si abang mengambil contoh sikap ibu sendiri dalam memilih calon untuk dibuat isteri.

Habis cerita Aliah dan penulis di zaman sekolah.

Sekarang? Aliah sekarang penulis halau jauh ke tanah Jepun. Penulis paksa Aliah mengisi borang tajaan JPA memandangkan keputusan SPM Aliah semua A.

Jangan balik selagi Jepun tak berperang, penulis kata pada Aliah masa penulis hantar ke lapangan terbang.

Ya, pembaca tak salah baca. Penulis dan ibu penulis yang hantar Aliah ke lapangan terbang. Keluarga  Aliah  masih  lagi tak terima  Aliah  belajar  tinggi-tinggi.  Abang- abangnya masih tidur ketika Aliah keluar rumah pagi itu. Mak ayah Aliah hanya menjenguk dari tingkap bilik.

Perempuan akan ke dapur juga. Bukan berguna pun sijil belajar tu nanti. Kata mak Aliah. Aliah diam. Penulis harap Aliah boleh belajar menjawab kata nista sedikit sebanyak ketika di Jepun.

Abang-abang dia pun tak belajar tinggi, dia yang perempuan nak belajar tinggi kenapa? Nanti lepas kahwin kene dengar kata suami juga. Kata ayah Aliah pula. Penulis rasa nak mengamuk sambil tendang pokok bunga mak Aliah tapi tak boleh fasal penulis pakai kain. Bukan sebab takut ya.

Oh ya, penulis tak cerita lagi macam mana Aliah boleh sambung belajar ke Jepun. Penulis datang beraya ke rumah atuk Aliah. Penulis cerita pada atuk nenek Aliah yang Aliah dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

Esok lusa Aliah balik dia boleh buat robot untuk Malaysia tok. Goreng penulis.

Dengan ‘cable’ dari atuk nenek Aliah, maka Aliah diberi izin tanpa ikhlas oleh ibu bapa dan abang-abang Aliah ke Jepun.

 

Sekarang tahun ke-empat Aliah mengaji ke sana. Penulis tak bagi balik. Sebab penulis yakin Aliah lagi bahagia di sana seorang diri berbanding dia bersama keluarga disini. Penulis mungkin jahat tapi memandangkan lagi dua tahun Malaysia ingin menuju tahun 2020, seorang manusia sepatutnya lebih bertimbang rasa sesama manusia. Pada seorang perempuan. Apatah lagi sesama saudara sedarah sedaging.

Mungkin cerita ini sekadar picisan tapi Aliah adalah bukti bahawa perempuan itu boleh menjadi alas pijak kaki jika tidak dibantu atau diberi peluang untuk hidup kearah yang lebih baik. Nasib manusia di atas muka bumi juga lain-lain.  Penulis sudah tulis siap- siap di perenggan pertama bahawa menjadi seorang perempuan itu payah bagi sesetengah perempuan. Hidup dengan membawa nama ayah di hujung nama sendiri adalah berat. Sama ada mahu ikut kata hati, atau kata orang tua.

Perempuan menjadi baik adalah susah. Perempuan menjadi jahat lagi susah. Sampai sekarang penulis masih tak pasti kenapa ada sesetengah lelaki mengambil keputusan untuk menjadi perempuan. Sekadar ‘random’ dari penulis.

Jika pembaca mempunyai kawan seakan Aliah, kawanlah dengan dia. Jangan sisihkan. Kita selalu dengan mengenai ‘depression’ kan? Semoga kita semua sedikit sebanyak dapat membantu golongan ‘Aliah’ ini.

Jika pembaca adalah seorang ‘Aliah’ semoga pembaca dalam lindungan dan rahmat Tuhan. Semoga pembaca juga dibalas dengan kebaikan dunia akhirat ;)